Thursday, April 1, 2021

BBM3410-2021-MINGGU 2-NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK

ELEMEN ASAS GRAFIK

Dalam tugasan ini akan membincangkan tentang lima elemen asas grafik iaitu mudah, warna, teks, kesesuaian dan keseimbangan.

1. Mudah

Elemen mudah ini merupakan cara penglihatan seseorang terhadap sesuatu gambaran yang mana mudah untuk difahami sama ada berbentuk foto ataupun video. Elemen ini juga dilihat sebagai suatu mesej yang mana gambaran tersebut difahami tanpa ada sebarang kekeliruan. 

Contohnya:

Sekeping foto sebuah motosikal berwarna biru yang terletak di hadapan rumah. Seseorang yang melihat foto tersebut akan faham bahawa foto itu ialah sebuah motosikal yang berwarna biru.

2. Warna

Warna merupakan kombinasi warna atau satu warna dalam sesuatu gambaran dalam bentuk foto atau video. Grafik yang wajar tidak sepatutnya mengandungi lebih daripada tiga warna. Namun, terdapat juga grafik yang mengandungi lebih daripada tiga warna kerana ingin menyesuaikan dengan objektif atau mesej yang ingin disampaikan. Walau bagaimanapun, terdapat juga grafik yang hanya mempunyai satu warna sahaja dan ini juga kerana ingin menyesuaikan dengan keadaan dan mesej yang ingin disampaikan. 

Contohnya:

Sekeping foto sebuah rumah berwana hijau dan disertai dengan warna awan putih dan langit yang kebiruan. Foto ini jelas menarik kerana mempunyai warna yang menyerlah dan memfokuskan kepada rumah dan langit. 

3. Teks

Jenis dan saiz font yang dipilih dalam persembahan grafik disebut sebagai teks. Kandungan dalam teks diambil kira bertujuan untuk pemahaman terhadap grafik. Warna yang terdapat dalam font tersebut juga sangat penting dalam asa grafik.

Contohnya:

Iklan mi segera dengan teks "Mudah dan Sedap" memberi persepsi tentang mi segera tersebut. Oleh sebab itu, teks tersebut sharusnya ditulis dengan jelas dan besar serta menggunakan jenis font yang mampu menarik perhatian pengguna. 

4. Kesesuaian

Kesesuaian merujuk kepada grafik yang bersesuaian dengan latar iaitu latar tempat, latar masa, latar watak yang terdapat dalam sesuatu foto atau video. 

Contohnya:

Foto tiga orang lelaki dewasa sedang membakar lemang untuk dihidangkan keesokan harinya. Ketiga-tiga lelaki dewasa tersebut memakai baju melayu dan terlihat ceria. Langit yang gelap dan dihiasi dengan pelita di sekeliling rumah menandakan suasana waktu malam. Terdapat tulisan di bawah foto tersebut "Malam hari raya".

5. Keseimbangan

Keseimbangan dalam grafik merujuk kepada ruang dalam foto atau video iaitu ruang di kiri dan kanan, atas dan bawah.

Contohnya:

Ruang di sebelah kanan terdapat sebatang pokok kelapa yang tinggi manakala ruang di sebelah kiri terdapat sebuah rumah kampung. Ruang di sebelah atas gambar terdapat langit luas berwana kebiruan dan di sebelah bawah pula terdapat padang yang kehijauan.


Rujukan: Normaliza Abd Rahim (2019), Multimedia dalam Bahasa, Penerbit Universiti Putra Malaysia. 

No comments:

Post a Comment